Minggu, 08 April 2012

Benarkah Golongan Feminis Memperjuangkan Hak Kaum Wanita?


                                                                      Ditulis Oleh Dr. Khalif Muammar*


Mungkinkah hakikat sesuatu diketahui oleh manusia? Ataukah sesuatu yang kita anggap benar hanyalah pandangan peribadi yang subjektif sifatnya?.



Terhadap pertanyaan pertama Islam memberi jawapan setuju. Kerana Islam mengajarkan umat Islam bahawa manusia dapat mencapai kebenaran yang objektif. 

Kebenaran tentang Tuhan, alam semesta, hakikat manusia dsb. dapat dicapai oleh manusia melalui sumber ilmu yang betul. Sedangkan golongan liberal akan memilih dan membenarkan pertanyaan yang kedua. Berdasarkan faham pascamodenisme yang mengetengahkan idea bahawa kebenaran itu subjektif, bagi golongan liberal, apapun yang kita katakan mengenai feminisme akan dianggap sebagai penafsiran yang subjektif. Ia hanyalah ilusi si penulis. Kita tidak akan tahu hakikat sebenar feminisme. Segalanya adalah kabur, tiada sesuatu yang pasti. Satu-satunya kepastian adalah subjektivisme itu sendiri. Dalam artikel ringkas ini, penulis mengajak pembaca secara cerdas menilai sendiri apakah yang ingin diketengahkan ini merupakan hakikat ataupun ilusi.


Pertama-tama, perlu dijelaskan terlebih dahulu golongan feminis yang mana yang ingin kita bicarakan? Apakah feminisme yang tumbuh pada awal abad ke 20 di Iran dan Mesir? Shirin Abadi dan Huda Sha’rawi yang hanya ingin agar kaum wanita mendapat pendidikan yang sama dengan lelaki.  Ataukah feminisme yang tumbuh ketika ini, setelah pengaruh faham sekularisme dan liberalisme menyebar di kalangan umat Islam. Golongan yang dipelopori oleh Fatima Mernissi, yang menganggap tudung atau hijab sabagai satu penindasan, dan Amina Wadud, yang melihat bahawa pemahaman terhadap al-Qur’an telah didominasi oleh kaum lelaki untuk kepentingan lelaki.

Yang jelas, dari segi sejarahnya, memang ada golongan feminis yang sememangnya bergerak untuk kepentingan kaum wanita. Mereka yang tidak ingin golongan ini tertindas dan teraniaya oleh bangsanya sendiri. Mereka perihatin dengan nasib kaum wanita dan tidak mempunyai agenda untuk mempertikaikan agama, hukum-hakam yang bersifat tetap dan disepakati. Golongan feminis ini, yang hampir tiada lagi ketika ini, didirikan dengan tujuan yang murni untuk menentang penindasan dan diskriminasi yang hanya berhubung dengan praktek, kebiasaan dan budaya sesuatu bangsa dan tiada hubungannya dengan agama. Golongan ini belum tentu setuju dengan label feminis yang diberikan kepada mereka. Mereka tidak menjadi ancaman kepada Islam kerana masih ada rasa hormat pada agama dan tradisi. Mereka dapat membezakan agama daripada budaya dan amalan yang tidak bersumberkan ajaran Islam. Selama akidah dan keyakinan mereka murni dan terpelihara, perjuangan mereka dapat dimengerti dan diterima oleh umat Islam.

Golongan Feminis yang menjadi ancaman dan berbahaya kepada kesejahteraan umat Islam  adalah golongan feminis yang berusaha untuk menafsirkan Islam agar sesuai dengan ideology feminisme yang mereka pegang. Mereka ingin agar hukum Islam dirombak (deconstruct), kerana dianggap telah menindas kaum wanita. Golongan yang menjadikan nilai-nilai moden sebagai ukuran dan memaksakan Islam agar tunduk terhadap nilai-nilai tersebut. Golongan yang tidak mahu menerima tradisi Islam, terutama fiqh dan tafsirnya, dan melihat semua karya-karya ulama silam sebagaibias gender, misogynist, memberi keutamaan kepada kaum lelaki, dan segala tohmahan lainnya. Golongan feminis ini keliru setelah menerima sepenuhnya worldview sekular-liberal, dan tanpa disedari telah menjadi alat untuk menyebarkan fahaman liberalisme di kalangan umat Islam.

Sebenarnya cukup jelas bahawa ada agenda lain selain daripada perjuangan membela kaum wanita. Golongan ini sebenarnya menjadikan hak kaum wanita sebagai alasan untuk menyebarkan pemikiran liberalisme mereka. Jika benar golongan ingin memperjuangkan kepentingan wanita, mereka sepatutnya cuba menumpukan kepada hal-hal yang melemahkan kaum wanita dan menyebabkannya selalu menjadi korban penindasan dan diskriminasi. Mereka patut memberi tumpuan kepada pendidikan yang dapat mencerdaskan kaum hawa, memberikan kesedaran, kefahaman, yang dapat mengangkat golongan ini dan mengelakkan mereka daripada terus menjadi korban penindasan. Mereka tidak melakukan semua ini kerana mereka sendiri tidak mengerti, sadar, faham dan terdidik dengan betul. Jika kita ikhlas ingin melakukan perubahan terhadap masyarakat kita akan mengkaji secara mendalam mengapa kerosakan berlaku dan bagaimana supaya perbaikan (islah) dapat dilakukan. Penindasan berlaku bukan secara kebetulan. Bukan juga hanya kerana pertarungan antara kelas, sebagaimana dikembangkan dalam falsafah marksisme. Manusia yang melakukan penindasan adalah manusia yang rosak moralnya. Manusia yang tidak terdidik dengan betul. Jadi puncanya adalah manusia yang rosak. Dan kerosakan pada manusia ini diakibatkan oleh worldview yang keliru.  Pandangan alam yang gagal meletakkkan sesuatu pada tempatnya. Falsafah yang telah menuhankan manusia dan memanusiakan Tuhan.

Hakikatnya, penindasan tidak terbatas kepada kaum wanita. Penindasan berlaku terhadap semua golongan atau lapisan masyarakat yang lemah. Golongan bawahan dan lemah, apakah itu rakyat miskin, pekerja kolar biru, wanita, kanak-kanak, selalu menjadi target penindasan golongan atasan dan golongan yang lebih kuat.
Ironisnya, tiada gerakan besar-besaran untuk membela hak golongan bawahan, dan menyebarkan ideologi dan pemikiran mereka agar diterima oleh golongan ini. Yang ada hanyalah berdirinya persatuan-persatuan pekerja. Persatuan yang tidak sama sekali membawa isu-isu agama, falsafah dan nilai-nilai moden ke dalam perbahasan mereka. Mereka hanya mengingatkan penguasa dan golongan atasan akan pentingnya hak mereka dijaga dan diberikan perhatian. Kita juga tidak melihat gerakan untuk membela anak-anak terbuang, kanak-kanak yang tidak mampu ke sekolah, atau perjuangan yang membela golongan ini. Dengan sendirinya Kerajaan di mana-mana negara  mendirikan kementerian kebajikan masyarakat atau seumpamanya untuk menolong golongan tidak upaya. NGO yang perihatin dengan golongan ini pun cukup banyak tumbuh hasil dari kesadaran individu-individu tertentu dan bukan satu gerakan yang multinasional. Semua usaha yang baik ini dilakukan tanpa melibatkan ideologi dan fahaman liberalisme dan dana yang besar dari Barat.
Bila sesuatu gerakan didanai dan disokong penuh oleh pihak tertentu yang berkepentingan tentunya ia memiliki agenda yang akan menguntungkan pihak yang memberikan dana. Jelas bahawa kepentingan Barat dan kepentingan Islam tidak sama. Barat, dengan sekularisme dan liberalismenya melihat Islam sebagai ancaman jika tidak di”jinakkan”. Sekurang-kurangnya mesej ini jelas dalam tulisan-tulisan Richard Nixon (Seize the Moment), Cheryl Benard (Civil Democratic Islam), Bernard Lewiss (What Went Wrong? danCrisis in Islam) dan Deniel Pipes (Fixing Islam). Islam yang menjadi musuh dan ancaman kepada Barat, bukannya negara-negara umat Islam yang selalu akur dengan kepentingan Barat tetapi golongan dan gerakan Islam yang berusaha mengukuhkan identiti keislaman dan memberi kesadaran serta mendidik umat Islam agar tidak menjadi umat yang lemah dan ditindas. Golongan yang menentang penjajahan pemikiran dan penyebaran virus sekularisme dan liberalisme.
Jika diambil kira agenda Barat yang terkandung dalam gerakan feminisme di dunia Islam ini maka jelaslah bahawa gerakan feminis bukan gerakan yang murni memperjuangkan kaum wanita dan berniat baik kepada umat Islam.
Terdapat banyak petunjuk bahawa golongan feminis tidak jujur dalam menentang penindasan. Dengan menggunakan kerangka berfikir liberalisme, mereka hanya melihat perkara-perkara tertentu sahaja sebagai penindasan. Penindasan hanya dipilih yang ada hubungannya dengan agama dan tradisi. Dalam hal ini Islam yang selalu menjadi tumpuan. Ini kerana Islam amat tegas terhadap penyebaran nilai-nilai moden. Sebenarnya dunia “moden” ini juga penuh dengan penindasan. Pornografi, pelacuran dan iklan-iklan banyak menggunakan kaum wanita sebagai alat untuk mengaut keuntungan. Eksploitasi terhadap kaum wanita juga seharusnya dilihat sebagai satu bentuk penindasan. Kerana itu bererti wanita dianggap sebagai satu komoditi bukan sebagai manusia yang terhormat. Tetapi malah yang berlaku adalah tumpuan kepada isu-isu seperti tudung atau hijab yang dilihat sebagai satu simbol penindasan terhadap wanita. Sehingga baru-baru ini menteri Perancis yang dilantik dari kalangan Muslim, menggesa agar niqab diharamkan terus di negara itu. Padahal kaum perempuan yang bertudung dan menutup aurat ini melakukannya dengan rela hati dan keinginan yang murni untuk menuruti perintah Allah.
Islam tidak menentang apapun usaha yang dilakukan oleh manusia untuk melepaskan diri daripada penindasan. Asalkan yang dianggap penindasan itu betul-betul penindasan. Kerana penindasan adalah musuh Islam. Islam sebagai agama yang murni daripada Allah telah memberikan panduan kepada manusia tentang bagaimana menjalani kehidupan yang baik di muka bumi. Manusia yang telah mengaku beriman kepada Allah tidak sepatutnya menolak ketentuan yang diberikan oleh Allah. Persoalan mengenai kepimpinan lelaki dalam rumah tangga, tentang keharusan poligami, tentang pembahagian harta pusaka yang lebih kepada lelaki sesuai dengan tanggungjawabnya dalam keluarga, adalah persoalan yang jelas dalam shari’ah dan tidak memerlukan ijtihad para ulama. Oleh kerana itu , akidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah menetapkan bahawa menolak hukum yang telah jelas secara qot’i (definitif) adalah kufur.  Secara logik hal ini dapat dibenarkan kerana orang Islam seharusnya percaya bahawa segala yang ditentukan oleh Allah adalah yang terbaik.
Sebaliknya golongan yang mengutamakan rasionalisme berbanding wahyu akan cuba merombak ketentuan Allah tersebut. Jika arak, contohnya, dilihat boleh memberi kebaikan kepada manusia, dan tidak semestinya mendatangkan kemudaratan, dengan bantuan “kajian saintifik” daripada saintis-saintis sekular, maka ketentuan daripada Allah akan dianggap tidak relevan, kolot, dan tidak dapat diterima di zaman yang serba canggih ini. Oleh itu ia perlu ditafsirkan sesuai dengan ”nilai-nilai moden”, tanpa menjelaskan dari mana datangnya ”nilai-nilai moden” ini. Manusia “waras” dan “bijak” kononnya akan dapat mengawal sendiri diri mereka bila mereka akan meminum arak, sebanyak mana, bila mereka merasa masih dapat mengawal diri mereka dan masih mampu memandu. Tanpa mengambil kira berapa ramai orang yang dengan sengaja mengetepikan kewarasannya dan kebijaksanaannya kerana tidak tahan dengan godaan nafsu yang tidak kenal batasan. Ditambah lagi dengan gejala ketirisan nilai yang dideritai oleh manusia “moden” hari ini.


Demikian juga halnya dengan golongan wanita, yang hari ini dianggap lebih berpendidikan, lebih mandiri dan berani, dan oleh kerananya tidak perlu lagi dipimpin oleh kaum lelaki. Kepimpinan kaum lelaki dalam rumah tangga dianggap kolot dan hanya sesuai pada zaman dahulu. Mereka tidak menghiraukan fitrah lelaki dan perempuan yang diciptakan oleh Allah swt. Di mana yang satu cenderung untuk memimpin dan yang satu cenderung untuk bergantung. Kesalingan inilah yang akan melengkapkan dan mempererat hubungan keduanya. Perbezaan antara lelaki dan perempuan adalah sesuatu yang tidak akan berubah. Masing-masing memiliki sifat dan kualiti yang berbeza. Dan perbezaan inilah yang menjadikan keduanya tertarik antara satu sama lain dan kehidupan menjadi menarik. Jika perempuan berfikir seperti lelaki, kurang emosinya dan lebih rasionalnya,  suka memimpin daripada dipimpin, suka kerja-kerja kasar daripada kerja-kerja domestik, ia bukan lagi perempuan. Kerana perempuan atau wanita di samping peranannya dalam masyarakat, politik dan ekonomi, mempunyai peranan kekeluargaan yang besar iaitu membesarkan dan menjaga anak, mengurus rumah tangga, dan menjadi pendamping suami, di mana kelembutan, emosi dan ketergantungan menjadi satu kelebihan.


Malangnya dunia “moden” hari ini diwarnai dengan persaingan dan perebutan, bukan kesalingan dan kerjasama. Apa sahaja yang diberikan kepada lelaki mesti juga diberikan kepada perempuan dengan kadar yang sama, barulah akan dianggap adil. Mereka beranggapan keadilan adalah kesamarataan. Padahal keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya yang sewajarnya mengikut kesesuaian, kelebihan masing-masing dan fitrah yang Allah telah tentukan. Fitrah lelaki dan perempuan berbeza. Maka tugas dan peranannya pun seharusnya berbeza. Oleh itu sebenarnya kesamarataan yang golongan feminis perjuangkan, kini dengan topeng musawah, sebenarnya tanpa disedari ingin menolak fitrah dan ketentuan Allah tersebut.
Di sini akan bangkit persoalan yang bersifat epistemologikal. Bagaimana kita tahu bahawa sesuatu itu telah ditetapkan demikian oleh Allah? Golongan liberal akan menafikan apapun hak untuk mengatakan bahawa Allah telah menetapkan sesuatu. Kerana ilmu itu sarat dengan kepentingan. Dan segala dakwaan akan ilmu dilihat mementingkan satu-satu golongan tertentu. Kecurigaan pascamodenis seperti ini tidak akan mengenal batasan. Maka bukan sahaja ulama yang akan dikritik dan dinisbikan, nabi dan al-Qur’an bahkan Tuhan sekalipun akan dicurigai dan dihujat. Golongan liberal, baik yang di Barat mahupun dari kalangan umat Islam, ini sebenarnya jelmaan kepada wabak akli yang dahulu dikenali dengan sofisme atau sufasta’iyyah. Hanya umat Islam yang berpegang dengan epistemologi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang akan terlindung daripada kekeliruan pemikiran Neo-sofis yang skeptik (la adriyyah), nihilis (al-’inadiyyah) dan liberal (al-’indiyyah) ini.
*Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan penulis buku Atas Nama Kebenaran: Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal (2006, 2009).

Sumber: http://khairaummah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=288&Itemid=155

Tidak ada komentar:

Posting Komentar